comscore
Tumpuan :
Nasional

Guna sistem sedia ada, tak perlu kupon minyak masak – Mydin

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya menggunakan mekanisme dan sistem sedia ada berbanding memperkenalkan kupon pembelian minyak masak peket bersubsidi yang dikhuatiri akan mengundang lebih banyak masalah.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata jika cadangan kupon itu adalah satu mekanisme yang boleh digunakan secara mudah dan tidak membebankan kos, iaitu kos pentadbiran, kepada rakyat dan kepada perniagaan, maka tiada masalah untuk ia dilaksanakan.

Tetapi katanya, pada pandangan beliau, biasanya ia akan membabitkan kos tambahan selain persoalan mekanisme apa yang mahu digunakan dan agak sukar mengelak ketirisan iaitu tentang kaedah pengagihan kupon itu mahu kepada golongan B40 di seluruh negara.

“Jadi kenapa tidak daripada kita menyusahkan dan nak fikir sangat ‘out of the box’ dengan sistem kupon, kenapa tak kita guna sistem sedia ada yang lebih senang iaitu melalui pemindahan tunai (cash transfer).

“Kita dah tahu (dalam sistem) siapa B40, kita dah tahu katakan secara purata satu isi rumah menggunakan lima kilogram (kg) minyak masak dalam sebulan.

“Kita tolak perbezaan harga di antara minyak masak tak bersubsidi, katakan ketika ini RM6.50 sekg dengan harga minyak peket bersubsidi iaitu RM2.50, maka kita dapat RM4. Jumlah ini kita darabkan dengan lima kg (purata penggunaan sebulan) bersamaan RM20 dan kita masukkan terus ke dalam akaun bank mereka. Ini lebih mudah berbanding penggunaan sistem kupon,” katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub semalam mengenai pengenalan kupon pembelian minyak masak peket bersubsidi.

Salahuddin berkata, wujud cadangan memperkenalkan sistem kupon kepada golongan B40 dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) untuk membeli minyak masak paket bersubsidi satu kg.

Beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada masa terdekat dan sekiranya dipersetujui, kemudian baharu dilaksanakan dengan meneliti dan mengemaskini data golongan berkelayakan menikmati program berkenaan.

Mengulas lanjut Ameer berkata, selepas itu, kerajaan boleh menarik semula subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion dari pasaran.

“Ikut anggaran saya, jika kita berikan RM20 sebulan kepada B40, jumlahnya tidak akan sampai RM4 bilion ini.

“Kalau untuk peniaga-peniaga kecil pun, mereka sudah ada cara mereka sendiri untuk tangani masalah ini dan mereka pun B40 juga, jadi kalau kerajaan mahu tambah bantuan RM50 sebulan pun tiada masalah kerana kita memang mahu bantu orang susah.

“Jadi kadang-kadang saya rasa kerajaan mengeluarkan mekanisme-mekanisme yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Tambahnya, jika kerajaan mahu juga melaksanakan sistem kupon, bagaimana cara pemberiannya? Adakah secara dalam talian atau menggunakan sistem kertas yang mana adalah satu mekanisme yang susah.

“Kalau kupon ini buat dalam talian, boleh ke rakyat gunakan kupon ini di kedai runcit sebelah rumah dia. Kalau pergi ke Mydin tiada masalah.

“Tetapi bila kita buat sesuatu kita nak tolong peniaga kecil dan bukannya nak tolong peniaga besar, jadi bagaimana mekanisme untuk kedai-kedai runcit di kampung atau kawasan luar bandar.

“(Sebab itu) nak cakap itu mudah, tapi jangan kita buat satu mekanisme, yang akhirnya kerajaan kena belanja RM100 juta untuk bangunkan dan laksanakan sistem ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau ingin mengetahui mengenai langkah kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mahu mengimport bekalan telur daripada negara luar.

“Kita ingin tahu kerajaan mahu import telur dari mana kerana telur dari luar lebih mahal dari Malaysia. Selain itu, adakah kerajaan mahu mengimportnya sendiri atau memberi kebenaran kepada perniagaan untuk mengimportnya?

“Jika kerajaan sendiri yang mahu import, ini akan menjadi satu masalah besar kerana membabitkan kerajaan untuk berniaga yang mana akan menjadi tidak cekap.

“Kita risau apabila kerajaan masuk campur dalam import telur ini, boleh berlaku masalah dari segi pengurusan kerana jangka hayat telur tidak lama dan boleh rosak kerana disimpan terlalu lama nanti,” katanya.

Loading...
Terkini