comscore
Tumpuan :
Nasional

Gurauan arwah akan sentiasa saya ingat – Isteri

Zurina Iskandar, isteri Allahyarham Pyahhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: “Gurauan dan usikan arwah akan menjadi perkara yang paling diingati.”

Itu luahan isteri Allahyarham pelakon dan penyair Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman yang kembali ke Rahmatullah jam 8.40 malam semalam.

Mengulas mengenai keperibadian arwah, Zurina Iskandar, 58, berkata ketika hayatnya Allahyarham sering mengusik dan ‘bergaduh’ dengannya membuatkan dirinya sentiasa terkenangkan perkara itu.

“Dia suka ‘gaduh’ dengan saya, jadi benda kecil tu membuatkan saya teringat; selain itu dia ini jenis tidak suka bercerita kepada orang mengenai kesihatannya meskipun pada waktu itu dia sedang sakit dan apabila saya tekan perut dia keras, kaki dia keras.”

“Seorang yang pemarah namun semalam saya terkejut apabila ramai yang datang ke rumah (memberi penghormatan terakhir) saya sampai rasa ramai yang sayang dia lebih daripada saya sayang dia,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Masjid As Sobirin, Lembah Keramat di sini hari ini.

Bercerita mengenai pemergian Allahyarham semalam, Zurina berkata hampir tiga hari arwah tidak boleh melihat dengan jelas.

Jelasnya lagi, ketika di akhir hayatnya semalam, arwah dalam keadaan lemah dan mula sesak nafas.

“Saya tanya kenapa ini? Lepas tu saya tengok nafas dia semakin pendek, lepas tu macam bunyi berkahak kemudian kepala arwah terlentuk atas saya punya bahu.”

“Dia meninggal atas saya punya bahu dan saya sempat mengajar dia mengucap dan meminta maaf dengan arwah.”

“Saya kata nak pergi pergi lah, jangan seksa diri. Saya jumpa abang di sana. Saya pun akan pergi juga nanti. Cari ayah saya. Cari adik, abang dia. Kita jumpa nanti kat sana,” tambahnya sebak.

Semalam Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya selepas waktu Isyak.

Allahyarham merupakan anak kelahiran Taiping, Perak dikenali seorang deklamator dengan lantunan suara yang unik.

Antara kumpulan puisi indie yang ditulis sendiri olehnya adalah Suara dan Saraf Dukaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini