comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Harga maksimum tiket penerbangan sehala ke Sabah dan Sarawak tidak melebihi RM300

 

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Warga Semenanjung yang ingin pulang Sabah dan Sarawak sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai boleh menikmati subsidi pembelian tiket penerbangan daripada kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang ditetapkan maksimum RM300 tidak termasuk cukai dan fi.

Bagaimanapun, sekiranya harga tiket kurang daripada RM300, ia akan mengikut harga sebenar tambang berkenaan.

Jelasnya anggaran kos keseluruhan bagi bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah sebanyak RM5.8 juta hingga RM11.4 juta

“Kami telah berunding dengan syarikat penerbangan untuk program perintis yang mana kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan kedua-dua perayaan tersebut.

“Penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula 20 Mei ini pada jam 12.01 tengah malam yang mana orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat penerbangan mulai tarikh itu,” katanya ketika ditemui media di Majlis Sambutan Hari Raya di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya lagi, memandangkan tiket penerbangan bagi laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai telah pun habis dijual, pihaknya dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas (charter) dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh tarikh tersebut tertakluk kepada permintaan sebenar.

“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan ini juga akan turut ditetapkan sebanyak RM300 dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi.

“Setakat semalam, baki tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 17,708 tiket penerbangan,” katanya.

Katanya, pelaksanaan projek perintis bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu diharap dapat membantu rakyat mereka yang akan pulang bercuti sempena perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut pada 30 Mei 2023 dan Hari Gawai pada 1 Jun 2023.

Loading...
Terkini