comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari Kebangsaan 2023: 20,000 hadirin meriahkan Dataran Medan Bandar

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenaan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.

Baginda berdua berangkat tiba jam 9.20 pagi dengan diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel berkaitan: Hari Kebangsaan 2023: ‘Abang bas’ juga teruja dapat berkorban untuk negara

Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Sambutan yang dijadualkan jam 9 pagi bagaimanapun ditangguhkan kira-kira 20 minit berikutan hujan lebat sejak  jam 6.30 pagi.

Begitu pun, lebih 20,000 hadirin tidak berganjak kerana mahu menyaksikan istiadat perbarisan dan perarakan kontinjen sempena sambutan itu.

Sambutan bermula dengan istiadat pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Sultan Sallehuddin sebelum diteruskan dengan persembahan koir dan acara perbarisan.

Sebanyak 115 kontinjen melibatkan lebih 3,700 peserta daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan tahun ini.

Loading...
Terkini