comscore
Tumpuan :
Nasional

Insiden pokok tumbang: 2 mangsa cedera dipercayai pemandu e-hailing & penumpang warga Sweden

KUALA LUMPUR: Dua individu yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, petang tadi, dipercayai pemandu e-hailing dan penumpangnya, seorang warga Sweden.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd Yusof ketika mengesahkan perkara berkenaan berkata, kejadian kira-kira jam 2 petang itu membabitkan 17 kenderaan pelbagai jenis.

Katanya, sebuah kenderaan yang dihempap membabitkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Ada dua lagi mangsa telah dibawa ke HKL membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Sweden yang berkemungkinan besar ialah pemandu dan penumpang e-hailing,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, petang tadi.

Nazron berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Katanya, tindakan sudah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk proses pembersihan.

“Laluan akan ditutup sepenuhnya untuk tindakan pembersihan dan akan dibuka semula selepas selesai sepenuhnya,” katanya.

Nazron turut menyarankan pemilik kenderaan dan mangsa yang cedera untuk tampil membuat laporan bagi tindakan lanjut.

Katanya, polis juga akan dapatkan saksi kejadian selain mengesan ahli keluarga mangsa yang maut.

Operasi di lokasi kejadian turut membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini