comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu pencen, negara akan berdepan risiko muflis, jejaskan generasi baharu – PM

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

IPOH: Kerajaan menyangkal dakwaan kononnya usaha untuk mewujudkan penjawat awam tanpa pencen akan menjejaskan nasib bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan akan berdepan dengan risiko muflis serta akan menggugat generasi akan datang.

“Pembangkang akan cakap hapuskan pencen akan seksa orang Melayu, ini semua cadangan DAP dan ini yang terus dikemukakan dan tidak berbicara soal fakta kemudian guna agama, tunggang agama.

“Ada yang sengaja gunakan (isu pencen) mereka lupa kerana mereka juga pernah luluskan sebelum ini. Sudah puluhan tahun tidak dikaji kerana tiada kekuatan dan tekad politik untuk mengubah.

“Boleh jika ingin teruskan (pencen) tetapi generasi akan datang akan bermasalah jadi saya tidak mahu begitu,” katanya ketika berucap sempena ucapan perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sistem pencen berkenaan juga tidak lagi diamalkan oleh sebahagian negara-negara maju.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan tidak sesekali mengabaikan nasib penjawat awam dan ini termasuk usaha membaik pulih kediaman penjawat awam serta isu kadar upah.

“12 tahun penjawat awam kerja tidak ada penilaian, tidak ada komitmen untuk perbaiki kadar upah dan gaji mereka.

“Kita telah putuskan walaupun ada kekangan kewangan perkara ini (kebajikan penjawat awam) kita tidak boleh tunggu. Dengan kos sara hidup dan gaji yang tak naik kerajaan tetap ada komitmen tingkatkan kadar upah penjawat awam di negara kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar juga memaklumkan bahawa perubahan sistem pencen itu akan terpakai kepada ahli politik.

Ini termasuk mereka yang bakal menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.

Baru-baru ini, kabinet bersetuju menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima manfaat pencen.

Bagaimanapun, perkara itu tidak akan menjejaskan status penjawat awam sedia ada namun bagi penjawat awam lantikan baharu perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini