comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu Perkauman, Hadi Awang Akan Jawab Di Mahkamah

FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa beliau sudah dipanggil ke Bukit Aman, dan akan menjawab sepenuh isu kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman, di mahkamah.

Malah, Presiden PAS itu berkata, beliau juga bersedia untuk dipanggil lagi oleh pihak polis, sekiranya diminta berbuat sedemikian bagi membantu siasatan lanjut.

“Saya telah dipanggil ke Bukit Aman, disoal dan sudah menjawab soalan, selanjutnya saya akan jawab di mahkamah.

“Kalau dipanggil lagi (oleh polis), saya akan pergi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah.

Pada 20 Ogos lalu, media melaporkan Abdul Hadi dalam kenyataannya mendakwa bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah kumpulan majoriti perosak politik serta ekonomi negara.

Susulan itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini