comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu tanggal ‘mekap’ selesai cara baik, KPM pandang berat sahsiah guru

Tangkap layar video tular

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menjalankan siasatan terhadap isu tular seorang guru menanggalkan solekan pada muka seorang murid perempuan Tahun Dua.

Kejadian dipercayai berlaku pada 25 Ogos lalu di sebuah sekolah yang mengadakan satu acara pertandingan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

KPM menerusi kenyataannya kepada Buletin TV3 memaklumkan, hasil siasatan mendapati isu itu telah diselesaikan dengan cara baik antara pihak sekolah dengan ibu bapa murid berkenaan.

Jelasnya, terdapat salah faham berkaitan peringatan yang telah diberikan oleh sekolah kepada semua murid yang terlibat dalam pertandingan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

“KPM sentiasa memandang berat mengenai isu sahsiah dan adab dalam kalangan murid-murid dan guru.

“Selari dengan konsep Karamah Insaniah, KPM juga komited dalam penerapan nilai etika dan moral kepada semua warga institusi pendidikan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM memaklumkan pihak sekolah berhak menentukan peraturan bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan selagi tidak melanggar peraturan sedia ada.

“KPM juga telah mengeluarkan surat peringatan berkaitan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Sekolah yang boleh disambut sehingga 16 September ini.

“Pihak sekolah boleh merancang dan melaksanakan aktiviti utama dan aktiviti sampingan seperti mengibarkan Jalur Gemilang, pertandingan menulis esei, mendeklamasi puisi, melukis poster dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, seorang bapa meluahkan rasa terkilan setelah anaknya yang dikenali sebagai Ammara dimarahi guru, kerana mengenakan solekan pada muka pada hari pertandingan di sekolah terbabit.

Pada hari kejadian, Ammara yang lengkap mengenakan pakaian berwarna-warni berserta solekan pada mukanya, dilihat sedih selepas diperlaku demikian oleh guru terbabit.

Tindakan guru perempuan yang mengesat dan menanggalkan solekan pada wajah Ammara turut mengundang kecaman dan rasa kecewa dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, selang beberapa hari kemudian, di saat rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, kesedihan adik Ammara terubat apabila berpeluang bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Baginda yang tertarik dengan pakaian yang dipakai adik Ammara pada ketika itu bertindak turun dari kenderaan rasmi miliknya untuk menyapa adik Ammara di acara sambutan Hari Kemerdekaan ke-66, di Putrajaya baru-baru ini.

Loading...
Terkini