comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu tuntutan Waris Sulu: Peguam yakin Malaysia ada peluang menang

FOTO IHSAN Facebook Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Barisan peguam lantikan Malaysia yakin bahawa kita mempunyai peluang yang baik untuk menang berdasarkan fakta dan bukti yang jelas menyebelahi negara.

Namun menurut Datuk Seri Azalina Othman Said, apa jua keputusan, Kerajaan Madani kekal dengan pendirian untuk meneruskan usaha memastikan kedaulatan Malaysia terpelihara dalam kes ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, beliau kini berada di Madrid, Sepanyol di mana lapan individu mendakwa waris Sulu memulakan prosiding timbang tara.

“Saya mohon semua rakyat Malaysia terus berikan sokongan kepada usaha kerajaan ini dan doakan kejayaan demi kedaulatan tanah air kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Turut hadir ke prosiding terbabit adalah wakil Peguam Negara; Peguam Cara Negara II Datuk Almalena Sharmila dan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Dato Akmal Che Mustafa.

Katanya, beliau sudah berbincang dan diberi taklimat daripada peguam yang dilantik dalam kes tuntutan berkenaan iaitu sementara menunggu keputusan Mahkamah Antarabangsa, The Hague, Belanda.

Laporan sebelum ini menyatakan, waris Sulu yang menuntut hak ke atas Sabah bertindak biadab apabila menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta bayaran pampasan.

Antara tuntutan dibuat termasuk menuntut bayaran berjumlah AS$ 14.92 bilion (RM68.5 bilion) yang turut dikenakan faedah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris dilaporkan menolak tuntutan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti yang dimohon Malaysia bagi mengenepikan perkara itu.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal.

Pada 15 April 2022, Malaysia memfailkan permohonan penangguhan terhadap penguatkuasaan Final Award yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada Februari 2022 di Paris.

Pada 12 Julai 2022, hakim pra perbicaraan Mahkamah Rayuan Paris memerintahkan penangguhan penguatkuasaan tanpa syarat di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Paris, atas alasan ia berkemungkinan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

Kumpulan Sulu memfailkan tuntutan mencabar perintah itu pada 27 Julai 2022, dan perbicaraan mengenainya diadakan pada 16 Januari 2023.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara itu kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award dan keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Loading...
Terkini