comscore
Tumpuan :
Nasional

JKM cari waris bayi lelaki ditemui di bawah bangku kayu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu masih mengesan waris bayi lelaki yang ditinggalkan di bawah bangku kayu di kawasan perumahan Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini, Ahad lalu.

Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah Abdul Manan berkata, waris kepada bayi berkenaan diperlukan untuk tujuan penjagaan tetap mengikut Seksyen 30(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, kes berkenaan akan dirujuk ke mahkamah terlebih dahulu untuk mendapatkan perintah jagaan sementara.

“JKM mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan ia (kes bayi berkenaan) akan dirujuk ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara tidak lama lagi.

“Ianya kemudian dibawa untuk perintah jagaan tetap (diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau diletakkan di tempat selamat) mengikut Seksyen 30(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bayi terbabit kini masih dalam pemantauan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini,.

Menurut Mazura, tahap kesihatan bayi berkenaan stabil dan berharap orang ramai dapat membantu JKM dalam usaha nengesan waris bayi berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh memaklumkan kepada pihaknya atau pejabat JKM daerah yang terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ahad lalu, seorang bayi lelaki dan masih bertali pusat ditemui di bawah bangku kayu di luar sebuah rumah di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini.

Bayi seberat lebih dua kilogram berusia kira- kira seminggu itu ditemui lelaki berusia 28 tahun selepas terdengar suara tangisan bayi di kawasan rumahnya jam 6.05 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Kesesakan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Loading...
Terkini