comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 6 tahun cedera di badan akibat terkena percikan bahan kimia

KEMAMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian belakang badan dipercayai terkena percikan bahan mudah terhakis di sebuah Taman Asuhan Bimbingan dan Kanak-Kanak di Kemaman, Terengganu, dalam kejadian pada Rabu lalu.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu, disedari gurunya selepas kanak-kanak yang sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kelasnya, tiba-tiba berlari ke arahnya sambil menangis kesakitan dan mengadu terasa panas di bahagian belakang badannya.

Menurut ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Masyita, 32, berkata, dia hanya mengetahui insiden menimpa anaknya selepas dihubungi guru anaknya.

“Bila saya tahu saya terus bergegas ke sekolah itu dan ketika sampai, anak saya tidak berbaju dan menangis kesakitan.Saya lihat ada kesan kecederaan pada belakang badan anak.

“Baju Melayu yang dipakai anak saya juga berlubang dan ada kesan terhakis. Saya terus bawa anak ke klinik berhampiran dan anggota perubatan sempat menyuruh saya menyiram air di badan anak bagi meredakan kesakitannya,” katanya.

Masyita berkata, anak sulung daripada dua adik beradik itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan kini sedang dalam pengawasan doktor pakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenalpasti bahan yang terkena pada badan kanak-kanak tersebut.

“Kita belum pasti apa bahan yang telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu dan kini kami sedang siasat mengenainya,

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati ada kesan terhakis pada baju kanak-kanak itu dan kita akan bawa sampel bahan tersebut ke Jabatan Kimia,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya akan menyiasat dari segala aspek dan akan turut meneliti sama ada berlaku pengabaian penjagaan terhadap kanak-kanak itu di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Loading...
Terkini