comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kastam rampas 3 kontena alat ganti kenderaan, pakaian, kasut ‘lari cukai’

Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim (lima dari kiri) bersama barang ‘lari cukai’ yang dirampas

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Tindakan pengimport yang membawa masuk alat ganti kenderaan, pakaian serta kasut bernilai RM327,039 termasuk cukai dengan membuat pengikraran tidak benar, berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis.

Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim, berkata kejayaan itu direkodkan pihaknya menerusi pemeriksaan ke atas 3 lori kontena berpendaftaran Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, pada 3.30 petang Isnin lalu.

“Hasil imbasan ke atas lori kontena tersebut telah menjumpai 400 unit alat ganti kenderaan dan 1,105 unit aksesori kenderaan beserta 2,080 helai pakaian dan 6,840 pasang kasut tidak berkastam.

“Barangan yang diimport dari negara jiran itu menggunakan dokumen pengikraran pengimportan yang dipercayai tidak diikrar dengan betul,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan.

Anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan yang disita adalah RM264,840 dan duti serta cukai terlibat berjumlah RM62,199 menjadikan jumlah keseluruahn RM327,039.

Ketiga-tiga pemandu lori kontena yang juga warganegara Thailand kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1) (g) Akta Kastam 1967.

Menurut Ismail, pihak terbabit membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan dalam Borang Kastam 1 (K1) dengan tujuan mengelak dikenakan duti dan cukai yang tinggi.

“Siasatan lanjut juga dilakukan bagi mengesan pengimport yang terlibat,” ujarnya.

Loading...
Terkini