comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenakan tindakan tegas jika kecuaian punca runtuhan gudang – Timbalan Speaker DUN

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kejadian runtuhan gudang dalam pembinaan, di sini, yang meragut tiga nyawa, setakat ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata tindakan itu wajar supaya kejadian sama tidak berulang di mana-mana tapak pembinaan di negeri ini.

“Saya amat berdukacita terhadap kejadian ini dan kita mahu agensi atau jabatan bertanggungjawab mengambil tindakan yang tegas bagaimana kejadian tragis ini boleh berlaku.

“Kita harap tindakan diambil segera agar ini tidak berulang di mana-mana lagi, perlu pemantauan apatah lagi ia melibatkan kerja-kerja 24 jam,” katanya melawat lokasi kejadian, pagi tadi.

Katanya, beliau hadir sebagai wakil DUN Pulau Pinang yang sedang bersidang membahas Bajet 2024 negeri ketika ini turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, pasukan penyelamat yakin mangsa dapat ditemukan hari ini sekiranya runtuhan konkrit dapat dialihkan segera.

“Pasukan penyelamat punya anggaran masa boleh jumpa (mangsa tertimbus) adalah lebih kurang 2 jam.

“Tapi kita perlu sabar dan beri mereka ruang untuk menjalankan tugas mereka,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam tadi, gudang dalam pembinaan itu runtuh menghempap 9 pekerja binaan warga Bangladesh yang sedang bekerja.

Setakat ini, tiga orang disahkan maut, dua cedera parah, manakala empat lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini