comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan digesa gubal akta, SOP sistem klinik maya – PERDIM

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa untuk menggubal satu akta dan prosedur operasi standard (SOP) susulan hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperluaskan lebih banyak pelaksanaan sistem klinik secara maya.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, penggubalan akta itu bertujuan untuk mengawal pengeluaran preskripsi ubat oleh seseorang doktor selain mengelakkan disaman oleh pesakit kerana terkhilaf dalam memberi preskripsi.

“Preskripsi secara dalam talian ini belum ada akta lagi. Jadi kita kena akta bagi menawal doktor-doktor yang terlebih dalam memberi preskripsi. Seperti di negara maju, doktor mereka mempunyai kod masing-masing dan mempunyai had dalam memberi preskripsi dalam sehari.

“Kita tidak mahu seseorang doktor memberi preskripsi sehingga 1,000 sehari. Kita tidak mahu disalahguna dan ia perlu dikawal.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

KKM sebelum ini dilaporkan akan memperluaskan lebih banyak pelaksanaan sistem klinik maya sebagai usaha mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan terutama bagi kes-kes bukan kecemasan.

Pesakit yang boleh menggunakan perkhidmatan itu ialah mereka yang mempunyai rekod rawatan sedia ada dengan hospital dan bukannya pesakit baharu.

Ini termasuk pesakit yang menunggu semakan keputusan makmal selain penjagaan pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain yang stabil serta mempunyai janji temu untuk pemantauan berterusan.

Dr Boi Saidi berkata, perkara yang dibimbangi pihaknya adalah apabila menggunakan klinik maya, akan ada beberapa simptom atau komplikasi yang tidak dapat dilihat menggunakan platform ini.

“Untuk kita merawat seseorang pesakit, kita perlu mewawancara pesakit, melakukan pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan makmal. Komponen ini menghasilkan satu diagnosis bagi merawat pesakit.

“Jadi ia agak bahaya sekiranya kita hanya merawat pesakit secara dalam talian sahaja. Jadi perlu ada SOP yang jelas. Mungkin rawatan secara digital ini diselang selikan secara bersua muka, tidak boleh buat secara sepanjang masa.

“Ini kerana kalau kita hanya buat secara dalam talian menerusi panggilan video sahaja, kita takut doktor boleh disaman kerana gagal mengenal pasti komplikasi dan pesakit dirugikan kerana komplikasi yang gagal dikesan oleh doktor itu tadi.” ujarnya.

Justeru, KKM perlu terus memperluaskan kerjasama dengan pihak perubatan swasta bagi mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan kesesakan pesakit dan waktu menunggu yang lama di fasiliti kesihatan kerajaan.

Loading...
Terkini