comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor sedia bantu anak sulung mangsa kemalangan maut

MUAR : Kerajaan negeri Johor bersedia membantu remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik beradiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kisah tragis itu memberi kesan kepadanya apatah lagi ibu bapa kepada Abdul Rahman Amir Ruddin,19  adalah imam dan guru KAFA yang dekat dihatinya kerana beliau adalah kakitangan di bawah portfolionya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Mohd Fared bersama Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim melawat Abdul Rahman di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar.

Pihaknya turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Bacaan tahlil dan doa turut disempurnakan dan beliau mendoakan kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah.

Dalam kejadian Jumaat lalu, empat adik-beradik Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kemalangan itu ialah Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Nahas berlaku apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Seorang lagi mangsa, Abdullah Amir Ruddin, 15 tahun  yang mengalami kecederaan teruk masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat dan terpaksa ditidurkan selepas menjalani pembedahan.

Loading...
Terkini