comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Negeri cadang beri penghargaan kepada Allahyarham Idris

BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang bercadang untuk memberi penghargaan selain bantuan kepada anak-anak dan balu Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali yang meninggal dunia dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina di Shah Alam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal, ia sebagai mengenang jasa Allahyarham yang pernah berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai penguat kuasa.

“Saya sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar Pahang dan mencadangkan perkara ini memandangkan Allahyarham yang berkhidmat dalam kerajaan negeri Pahang.

“Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang turut meninggal dalam nahas yang sama.

Katanya, Allahyarham yang turut memberi khidmat bakti khusus kepada masyarakat wajar diberi penghargaan oleh kerajaan negeri.

Beliau ditemui selepas upacara pengebumian Allahyarham Idris di Tanah Perkuburan Islam Barak, di Benus, hari ini.

Fadzli berkata, selain itu Allahyarham bukan sekadar kenalan dalam politik tetapi sahabat rapat yang sering berkongsi pandangan, teguran kepadanya bagi memperbaiki kelemahan dalam mentadbir sebagai Exco Kerajaan Negeri Pahang.

“Allahyarham banyak beri nasihat kepada saya terutamanya dalam politik dan cara memberi khidmat dalam kerajaan negeri, nasional dan kawasan.

“Beliau sangat peka dengan keadaan semasa, cepat bertindak dan kadang-kala perkara itu macam biasa tapi bagi Ustaz Idris melihatkan sesuatu isu itu besar dan perlu perhatian,” katanya.

Katanya, beliau sebagai wakil rakyat baharu, amat memerlukan teguran membina dan sihat dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan politik, kini ia menjadi ingatan dan kenangan buat beliau.

Loading...
Terkini