comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerana tertekan, sanggup belasah ibu sendiri 

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Tergamaknya seorang anak, hanya kerana pertengkaran sanggup ‘membelasah’ ibu kandungnya yang lumpuh sebelah kiri badan akibat strok.

Kesan lebam akibat dibelasah ditemukan pada kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri.

Perbuatan kejam di sebuah rumah di Taman Tambun Tulang, disini, menyebabkan mangsa yang juga seorang mualaf berusia 74 tahun, tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, pada 4.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi yang mengesahkan perkara itu berkata, Unit Kecemasan Hospital Kangar telah menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 4.10 pagi.

Katanya, pihak perubatan telah memberi rawatan awal CPR namun tiada tanda-tanda mangsa masih hidup.

“Post mortem telah dijalankan pada jam 3 petang tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati terdapat kecederaan pada tubuh si mati, iaitu di bahagian kedua-dua mata, dahi, kepala, lidah sisi kiri akibat tekanan.

“Si mati juga patah tulang rusuk kiri no 9, 10 dan 11 akibat tekanan. Walaubagaimanapun, punca kematian masih belum disahkan dan diklasifikasikan sebagai Pending Laboratory Analysis sementara menunggu keputusan makmal,” katanya menerusi kiriman Whatsapp kepada Buletin TV3.

Menurut Supt. Ahmad Mohsin, kejadian dipercayai berpunca akibat anak perempuan mangsa yang berusia 34 tahun mengalami tekanan dan tidak tahan dengan ragam serta karenah mangsa.

“Dari hasil temubual, anak perempuan mangsa telah mengaku memukul menggunakan tangan pada bahagian muka dan kepala pada 9 pagi semalam. Kita juga turut mengesyaki menantu mangsa terlibat dalam perbuatan itu berdasarkan keterangan yang meragukan,” jelasnya.

Kenderaan polis dilihat tiba ke rumah mangsa di Taman Tambun Tulang, disini, pagi tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka termasuk menantu yang berusia  34 tahun tidak mengaku membunuh mangsa dan motif sebenar masih dalam siasatan.

Polis telah melakukan tangkapan ke atas pasangan itu dan akan membuat permohonan reman esok di Mahkamah Majistret Kangar.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini