comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Saringan DNA beramai-ramai jejak pembunuh – Polis

Bangunan Blok R Apartment Idaman yang didiami ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Polis akan melakukan proses saringan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) beramai-ramai bagi mengesan pembunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pembunuhan kanak-kanak berusia 6 tahun itu, bukan kes yang ‘straight forward’ menyebabkan polis perlu mengumpul lebih banyak maklumat dan bukti.

Katanya, polis sudah menghantar bahan bukti yang diperoleh semasa bedah siasat ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan maklumat forensik.

“Kita harap keputusan akan diperoleh dalam dua tiga hari ini yang mana boleh membantu pihak polis untuk mendapatkan butiran yang boleh menjurus ke arah mereka yang terbabit.

“Ini bagi mendapatkan cap jari, DNA dan kita juga akan mulakan satu proses ‘mass DNA screening’ (saringan DNA beramai-ramai) yang boleh membantu polis dalam mengesan mereka yang terlibat,” ujarnya.

Beliau ditemui media selepas meninjau lokasi pembunuhan Zayn Rayyan di Damansara damai malam tadi.

Tambahnya, siasatan polis dalam kes itu membabitkan dua fasa.

“Fasa pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.

”Bagi fasa kedua pula, siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih kurang 2,400 rumah. Kita sudah mulakan sejak semalam sehingga pagi tadi dalam tiga blok dan kita akan teruskan lagi pada malam ini dan hari seterusnya.

“Kita boleh jamin pihak polis akan melakukan yang terbaik untuk mengesan mereka yang terlibat dan bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Setakat ini, polis sudah merakam percakapan lima individu termasuk ibu bapa mangsa.

Difahamkan, lelaki pertama yang menemukan mayat Zayn Rayyan turut dirakam keterangan.

Polis juga akan merekod keterangan jiran dan pihak sekolah bagi membantu siasatan.

Mangsa sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2).

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan  kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini