comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Zayn Rayyan dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak di anak sungai


PETALING JAYA: Polis percaya kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, 6 tahun yang ditemui mati di aliran anak sungai berhampiran kediamannya, dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di lokasi mayatnya ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan hasil bedah siasat, mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemui.

“Apa yang dapat dirumuskan dari post mortem dan usaha yang dlakukan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan masyarakat setempat selama dua hari, walaupun telah melalui tempat sama, namun tidak bertemu pun dengan mangsa.

“Akan tetapi, mangsa ditemui kemudian pada hari kedua, dan ketika itu lewat malam.

“Jadi dari situ kita rumuskan bahawa mangsa tidak mati di tempat kejadian. Dia mati di tempat lain dan diletakkan di situ dan ini juga mengambil indikator dari post mortem,” katanya dalam satu sidang media di IPD Petaling Jaya, malam ini.

Katanya, pihaknya juga sudah merangka beberapa strategi dan sedang merencana operasi bagi mencari suspek.

IPD Petaling Jaya akan dibantu IPK Selangor dan Bukit Aman.

“Seperti semua sedia maklum, Ketua Polis Selangor telahpun memberitahu kes telah diklasifikasikan semula daripada kes orang hilang ke 302 iaitu bunuh,” katanya.

Ketika ditanya mengenai luka lain, jawabnya, mereka turut menjumpai ‘defensive wound’ pada mangsa.

“Dalam konteks itu, saya rasa elok saya sebut, kita jumpai defensive wound.

“Jadi saya rasa demi menjaga maruah arwah dan keluarga, memadai saya cakap itu. Tetapi berdasarkan post mortem, kemungkinan mangsa telah meninggal dunia dalam lingkungan 48 jam.

“Yang pasti ia bukan kerana lemas,” katanya.

Jelasnya lagi, polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

Tambahnya, masih terlalu awal untuk menyatakan siapa suspek.

“Kita tidak tolak kemungkinan suspek dari kawasan berhampiran.

“Dari apa yang saya diberitahu, ia bukan kawasan seharian, jadi untuk seseorang yang pergi ke tempat itu, dia mesti tahu kawasan itu,” katanya.

Buat masa ini, hanya pihak keluarga yang diambil keterangan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat.

“Bagi pihak ibu bapa, saya merayu kepada penduduk di sini. Jika ada saksi atau ada maklumat tidak kira sekecil mana pun, tampil membantu kami membongkar kes ini.

“Ini adalah jenayah kejam dan kami akan melakukan semua yang mampu untuk mengesan pelakunya,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini