comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat remaja tersepit dalam kereta remuk

Kereta dinaiki mangsa remuk selepas merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Sri Aman-Sarikei, awal pagi tadi. – Foto: Ihsan JBPM

SRI AMAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut akibat tersepit di tempat duduk penumpang selepas kereta dinaikinya merempuh belakang lori yang sedang parkir di tepi Jalan Sri Aman-Sarikei Lebuhraya Pan-Borneo, awal pagi tadi.

Mangsa, Bong Kuet Leong disahkan mati di tempat kejadian.

Setakat ini, identiti pemandu kereta belum dapat disahkan kerana mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan dihantar pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 8.35 pagi.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk menggunakan peralatan khas.

“Maklumat awal diterima mendapati lori terbabit diletakkan di tepi jalan bagi memberikan laluan kerja memunggah barangan serta peralatan membina jejantas di kawasan berkenaan,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini