comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KKM sedia hantar pasukan perubatan ke Gaza

Oleh: Siti Khadijah Jaafar 

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan, (KKM) telah mengenalpasti pasukan perubatan yang boleh dimobilisasikan ke Semenanjung Gaza, sebaik mendapat kebenaran untuk memasuki kawasan bergolak itu.

Dalam satu kenyataan KKM berkata, pasukan perubatan itu akan didedahkan dengan latihan persediaan bersesuaian kerana akan terlibat merawat mangsa bencana peperangan.

“Pasukan perubatan bagaimanapun tidak dapat dihantar ke Semenanjung Gaza buat masa ini kerana mengambil kira keadaan semasa peperangan yang masih berlaku.

”Penghantaran akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian luar negeri dan agensi awam lain serta koordinasi oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa,” katanya.
KKM turut menjelaskan, pihaknya akan menghantar alat guna habis (consumables) dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan perubatan kali ketiga ke Gaza dalam tempoh terdekat.

“Bantuan itu melibatkan syringe pump, suture, IV cannula, dressings dan bandage.

“Tidak ketinggalan perkhidmatan neurosurgery dan pembedahan trauma, kemudahan peralatan seperti medical beds dan ubat-ubatan yang sesuai,” katanya.
Pada 3 November lalu, sejumlah 20 tan bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia dihantar untuk rakyat Palestin, disusuli penerbangan kedua membawa bantuan dalam jumlah yang sama pada Sabtu lalu.

Menurut Gaza Medics Worldwide, satu per tiga daripada 35 hospital di Gaza telah musnah dan memerlukan usaha untuk memulih serta menambah baik kemudahan serta perkhidmatan bagi menampung keperluan mendesak rakyat Palestin.

KKM turut mengecam tindakan Israel yang melakukan pengeboman ke atas hospital.

“Ia satu tindakan yang melanggar hak asasi manusia, tidak berperikemanusiaan, bertentangan dan melanggar Konvensyen Antarabangsa Geneva.

“Ia perlu dihentikan serta-merta bagi membolehkan hospital yang masih beroperasi dapat terus memberikan bantuan perawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera,” menurutnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini