comscore
Tumpuan :
Nasional

KUSKOP tingkat had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i RM200,000

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika merasmikan Pejabat TEKUN Cawangan Pensiangan. – FOTO: Ihsan KUSKOP

PENSIANGAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200,000 mulai bulan ini.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, berkata peningkatan had maksimum pembiayaan terbabit dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas serta had nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 bernilai RM200,000 dan ke bawah.

Katanya, ia adalah skim yang menawarkan akses pembiayaan segera kepada usahawan yang mendapat kontrak kerja atau pembekalan yang diperolehi secara terus daripada Kerajaan Persekutuan atau negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, skim terbabit juga mencagarkan kontrak kerja itu dengan nilai pembiayaan sehingga RM200,000.

“Pada tahun ini, TEKUN memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan dijangka akan menerima manfaat ini.

“Selain itu, KUSKOP juga mengambil inisiatif mewujudkan program ‘groombig’ yang bertujuan membantu usahawan di bawah agensinya mendapatkan pembiayaan lebih besar, latihan dan pembangunan kapasiti serta pembangunan produk usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi merasmikan Pejabat TEKUN cawangan Pensiangan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ewon juga berkata, usahawan berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik yang baik akan disokong oleh TEKUN untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100,000 daripada agensi lain dibawah KUSKOP.

Katanya, sehingga kini di bawah Progam Groombig seramai 113 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank berjumlah RM17 juta.

“Daripada jumlah itu seramai 23 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB berjumlah RM5.5 juta, 63 orang mendapat pembiayaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM3.03 juta dan 27 orang mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM8.5 juta.

“TEKUN turut memberi pembiayaan kepada 28 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang layak dengan nilai pembiayaan RM926,000,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini