comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebuhraya dijangka sesak bermula petang hingga tengah malam ini

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu-lintas dijangka akan berlaku di beberapa laluan lebuhraya utama menuju ke ibu negara bermula petang ini sehingga tengah malam.

Antara lokasi utama yang dijangka akan berlaku kesesakan adalah pintu masuk utama ke pusat bandar seperti Plaza Tol Gombak (dari arah Pantai Timur) dan Plaza Tol Sungai Besi (dari arah Selatan).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata kesesakan juga berkemungkinan berlaku di Lebuhraya Karak-Bentong, membabitkan laluan dari arah Plaza Tol Bentong menghala ke Gombak.

“Kesesakan dijangkakan di kawasan ini disebabkan pertambahan kenderaan dari arah Kelantan menuju ke Bentong serta dari arah Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malah kesesakan turut bakal berlaku di laluan mendaki.

“Kawasan lain adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan kawasan Slim River menghala ke ibu negara dan Changkat Jering ke Ipoh, disebabkan pertambahan kenderaan dan laluan mendaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mat Kasim berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga menjangkakan kesesakan di Lebuhraya ELITE membabitkan laluan Shah Alam – Sepang – Nilai, akibat pertambahan kenderaan.

“JSPT menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya PLUS, 150,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 200,000 kenderaan menggunakan laluan Karak-Kuala Lumpur hari ini.

“Setakat ini berdasarkan rekod Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 1,181,805 kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS sehingga jam 12 tengah hari tadi manakala 115,158 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memandu secara lebih berhati-hati dalam keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan lebat.

“Pastikan anda tidak menyalakan lampu kecemasan sekiranya hujan lebat dan tidak menggunakan lorong kecemasan kerana ia akan menyukarkan pasukan penyelamat melaksanakan tugas-tugas menyelamat,” katanya.

Loading...
Terkini