comscore
Tumpuan :
Nasional

Model dana pelaburan TH pula jadi ikutan

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Thailand menyuarakan hasrat mempelajari peranan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menguruskan simpanan dan keperluan rakyat Malaysia untuk menunaikan haji.

Menurut Ketua Delegasi Haji Thailand, Dr. Zakee Abdulaziz Pitakkumpun ketika ini TH berada jauh ke hadapan dan pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan TH untuk mempelajari selok-belok pengurusan hajinya.

Dr. Zakee bersama delegasi haji Thailand baru-baru ini mengadakan kunjungan ke ibu pejabat TH di Makkah di bangunan Abraj Janadriyah.

Beliau mengadakan perbincangan selama hampir sejam dengan wakil TH diketuai Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain itu delegasi haji Thailand ini juga dibawa melawat kemudahan dan persiapan yang dilakukan oleh TH untuk jemaah haji Malaysia.

Menurut Dr. Zakee, pihaknya berminat memperlajari model dana pelaburan yang dipraktikan oleh TH.

Dr. Zakee turut menjelaskan jemaah haji Thailand membayar sekitar 220,000 hingga 280,000 bhat atau kira-kira RM30,000 hingga RM37,000 untuk mengerjakan haji musim ini.

Kata beliau, jumlah bayaran berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya dan mereka menerima rungutan daripada jemaah haji Thailand.

Terdapat 11,300 jemaah haji Thailand mengerjakan haji pada tahun ini, manakala kuota yang diluluskan Kerajaan Arab Saudi adalah 13,000 orang.

Sementara itu, Datuk Seri Syed Saleh berkata hubungan baik di antara kedua-dua negara membolehkan perjumpaan diadakan setiap tahun bagi bertukar-tukar pandangan dalam urusan haji.

Menurutnya lagi, TH turut berkongsi model dana pelaburan institusi tabungan itu dalam mendepani kenaikan kos yang dihadapi saban tahun.

“Dengan dana yang kukuh boleh uruskan tempahan hotel, penerbangan dari awal tanpa perlu tunggu wang simpanan jemaah haji.

Kita juga boleh uruskan perjanjian jangka panjang seperti dilakukan dengan Masyariq untuk mengelakkan peningkatan kos,” katanya.

Loading...
Terkini