comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Lima murid cedera van sekolah terbabit kemalangan 

SEREMBAN: Lima murid yang dalam perjalanan ke sekolah cedera selepas van yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal dekat simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, Sendayan, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu turut mengakibatkan penunggang, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, van berkenaan dikatakan masuk ke simpang kanan jalan sebelum dirempuh motosikal yang bergerak lurus.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van jenis Ford yang dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun bersama 10 penumpang murid sebuah sekolah rendah sedang bergerak dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan membelok ke kanan simpang sebelum datang sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar yang ditunggang seorang lelaki berumur 17 tahun dari arah bertentangan yang sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri van berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan, lima daripada penumpang van sekolah masing-masing berumur tujuh hingga 12 tahun mengalami kecederaan luka-luka kecil akibat terkena serpihan kaca.

“Mereka yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) manakala pemandu van bersama lima lagi murid pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah di bahagian tangan kanan dan luka-luka di bahagian kaki. Remaja ini juga dibawa ke HTJ untuk menerima rawatan,” katanya.

Loading...
Terkini