comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pesara guru diperdaya RM480,000 gara-gara ‘bungkusan terlarang’

Foto hiasan

SEREMBAN: Seorang pesara guru kerugian RM480,000 ringgit apabila diperdaya sindiket yang menyamar dan mendakwa ada bungkusan ‘terlarang’ atas nama mangsa mengandungi bahan menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, terdahulu mangsa wanita berusia 56 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya ejen syarikat kurier dan polis pada 15 November lalu.

Beliau berkata, suspek mendakwa terdapat bungkusan mengandungi buku cek serta kad pengenalan didaftarkan atas nama wanita itu, sebelum mengugut mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa atas kesalahan berkenaan.

“Susulan itu, mangsa yang ketakutan mengikut segala arahan suspek dengan menekan pautan diberikan melalui telefon bimbit, selain kongsikan maklumat akaun banknya bagi tujuan menyelesaikan masalah itu.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian berasa curiga dengan urusan itu sebelum membuat semakan akaun banknya dan mendapati berlaku pengeluaran sebanyak RM480,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Arifai berkata, wanita itu yang mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan tampil membuat laporan polis, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sekali gus mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai pihak mendakwa kononnya daripada agensi kerajaan atau penguat kuasa yang hanya berurusan melalui panggilan telefon atau dalam talian.

| ARTKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini