comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Liga Arab, OIC terus beri tekanan halang Israel lakukan serangan darat ke atas Gaza

Kesan kemusnahan akibat serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza. – FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan memberi tekanan berterusan bagi menghalang rancangan jahat Israel melakukan serangan darat ke atas Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana Israel sedang melakukan persiapan untuk melancarkan pencerobohan darat itu.

“Tetapi kita tak boleh mengambil mudah, sebab mereka sedang siap sedia untuk melakukannya. Sebab itulah Malaysia dan negara OIC bertungkus lumus dalam beberapa hari ini bagi memastikan perkara ini tak dilakukan,” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Media antarabangsa hari ini melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendedahkan negaranya sedang siap bersedia untuk mengerahkan bala tenteranya melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza.

Katanya, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas, akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan beliau sendiri sepatutnya berada di New York untuk bersama-sama rakan sejawat dari negara lain sempena Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau ditugaskan untuk berada di tempat lain  bagi melaksanakan misi untuk mengekang tindakan yang mahu digerakkan Israel itu.

Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan Malaysia menyokong gesaan Sesi Khas Kecemasan pada UNGA yang dijadual berlangsung di ibu pejabat PBB di New York hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sidang Tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.

Sokongan itu disuarakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berhubung situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk  Baitulmaqdis Timur.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini