comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di PPS gotong-royong masak juadah berbuka puasa

Penghuni PPS Sekolah Agama (SA) Seri Chomel bergotong royong memasak juadah berbuka puasa di PPS. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Ketika umat Islam lain menyambut kehadiran Ramadan dengan penuh kesyukuran di kediaman masing-masing bersama ahli keluarga, situasi berbeza bagi 444 mangsa banjir di daerah ini yang masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Bagi Siti Zubaidah Kassim, 47, berhadapan dengan banjir dan ditempatkan di PPS adalah perkara biasa buatnya kerana ia berlaku hampir setiap tahun, namun menyambut kehadiran bulan puasa di PPS adalah kali pertama dan di luar jangka.

Dia, yang tinggal di Kampung Parit Yusuf, tidak menyangka banjir yang naik secara mendadak sejak 1 Mac lepas itu, akan berlarutan hingga kini kerana kebiasaannya hanya berlaku sekitar satu hingga dua minggu sahaja.

“Walaupun sambutan Ramadan tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya, saya percaya pasti ada hikmah dan kesedihan kami terubat apabila melihat semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam kalangan penghuni di PPS ini.

“Kami bersama-sama menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa, begitu juga dengan solat sunat tarawih yang dilaksanakan di PPS ini, ia satu pengalaman yang berbeza,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Agama (SA) Seri Chomel, hari ini.

Ketika ditanya tentang persiapan menyambut Syawal, Siti Zubaidah berkata dia belum memikirkan lagi kerana dalam fikirannya kini adalah untuk pulang ke rumah terlebih dahulu.

Sementara itu, Shahidan Bunakair, 72, yang juga kali pertama menyambut Ramadan di PPS, mengharapkan keadaan banjir yang berlaku ini tidak berlarutan hingga ke Syawal.

Walaupun terpaksa menyambut Ramadan di PPS, warga emas itu tetap bersyukur kerana dia bersama ahli keluarganya terselamat ketika banjir berlaku meskipun paras air ketika kejadian melebihi paras dada.

“Saya harap pada masa akan datang tiada lagi kejadian seperti ini sehingga kami menyambut Ramadan dalam situasi yang sangat berbeza seperti sebelum ini,” katanya.

Selain bergotong-royong menyediakan juadah berbuka, PPS tersebut dan dua lagi PPS iaitu SA Seri Bertam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min turut mengadakan solat tarawih, manakala mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Medan dan Dewan Orang Ramai Yong Peng, menunaikan solat tarawih di masjid serta surau berhampiran. – BERNAMA

Loading...
Terkini