comscore
Tumpuan :
Nasional

MAVCOM diarah siasat penerbangan dari Melbourne ditunda

Foto: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyiasat dakwaan pasangan Malaysia yang terkandas di Melbourne, Australia selama empat hari, selepas syarikat penerbangan tempatan, AirAsia X menangguhkan penerbangan mereka.

Arahan itu sebagai maklum balas kepada aduan pengguna Twitter, NazFarid yang meluahkan kekecewaannya terhadap syarikat terbabit, selepas penerbangan pulang mereka dari Melbourne yang dijadualkan pada 2 Januari, tertangguh sehingga hari ini.

“Saya mengambil maklum aduan anda. Saya akan meminta pengurusan AirAsia X memohon maaf kepada semua penumpang terjejas. MAVCOM akan menyiasat kes ini,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

Menerusi beberapa ciapan Twitter sejak semalam, NazFarid menjelaskan beliau cuba menghubungi AirAsia X mengenai kelewatan itu tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Beliau dan isteri bagaimanapun pulang ke tanah air pada hari ini, menerusi penerbangan pada jam 2.25 pagi waktu tempatan, awal pagi tadi.

Beliau kemudiannya membuat laporan kepada MAVCOM berikutan penangguhan itu menyebabkan beliau dan isteri terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi susulan kelewatan terbabit.

“Ia adalah perbelanjaan untuk lima hari, memandangkan penerbangan kami sepatutnya pada jam 7 pagi, 2 Januari.

“Perbelanjaan kami melambung tinggi kerana terpaksa menempah hotel pada saat akhir.

“Malah saya ingin mengeluarkan ASB (Amanah Saham Bumiputera), namun tidak dapat berbuat demikian kerana cuti umum,” katanya.

Katanya, insurans perjalanan mereka hanya boleh dituntut sekembali ke Malaysia dan ia hanya terhad hingga RM2,000 seorang dan ia tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan selama lima hari akibat kelewatan penerbangan terbabit.

Loading...
Terkini