comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Mini Dhaka’ lubuk pengemis warga asing?

 

KUALA LUMPUR: Kebanjiran warga asing di beberapa lokasi bukan lagi satu perkara baharu lebih-lebih lagi di tempat tumpuan seperti ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang berhampiran pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Malah populasi mereka ini mewujudkan satu koloni yang menguasai ekonomi setempat sehingga menenggelamkan warga tempatan dan budaya asal sesuatu masyarakat.

Baru-baru ini, orang awam memaklumkan kepada Buletin TV3 mengenai aktiviti mengemis yang dijalankan oleh warga asing di sekitar ‘Mini Dhaka’ meskipun lokasi itu telah diserbu oleh pihak berkuasa 21 Disember lalu.

Susulan itu, kru kami turun padang meninjau kawasan yang dikatakan lubuk pengemis warga asing terbabit.

Ketika tinjauan dilakukan, kami terserempak dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan bancian terhadap pemilikan perniagaan di kawasan berkenaan.

Hasil tinjauan sepanjang 4 jam mendapati, tiada sebarang kelibat pengemis.

Namun, sebaik sahaja penguatkuasa selesai melakukan bancian dan beredar dari kawasan itu, kelibat seorang pengemis yang disyaki warga asing dikesan menjalankan aktiviti mengemis.

Individu berkenaan tanpa segan silu mengemis sesiapa sahaja yang berada berhampiran termasuk warga tempatan, warga asing dan juga pelancong luar negara.

Kami turut diberitahu oleh peniaga tempatan dan pengusaha teksi di Perhentian Teksi Lebuh Pudu bahawa aktiviti terbabit akan lebih rancak pada sebelah petang kerana pihak DBKL telah beredar.

Untuk rekod, lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang pada 21 Disember lalu.

Kepungan bermula pada pukul 11 pagi itu bagi menyerbu koloni warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ membuka perniagaan selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan.

Pasukan keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.

Difahamkan serbuan dijalankan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.

Kira-kira 500 orang warga asing membabitkan warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini