comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT cadang perkenal perkhidmatan komuter sokong RTS Link

 

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang memperkenalkan perkhidmatan komuter bagi menyokong Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Menterinya Anthony Loke berkata, ini kerana Stesen RTS Link di Bukit Chagar di sini turut menempatkan stesen Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru yang berada di bawah stesen RTS tersebut.

“Perkhidmatan komuter sudah ada di Kuala Lumpur dan utara, di selatan belum ada. Kita ada ETS (perkhidmatan tren elektrik) antara Gemas dan Johor Bahru, kita sedang berbincang bagaimana untuk mengintergrasikan (laluan ETS) dengan RTS. Jadi, orang yang tinggal di Senai, Kluang dan Kulai boleh menggunakan perkhidmatan komuter hingga ke Bukit Chagar, kemudian mengambil RTS ke Singapura.

“Apabila landasan ETS antara Gemas dan Johor Bahru siap, kita tidak mahu ia hanya digunakan untuk satu perkhidmatan sahaja, alangkah baiknya jika digunakan untuk komuter sekali. Perkara ini sedang diteliti, kita akan kaji dengan mendalam untuk perkenalkan perkhidmatan ini di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki Menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara JLand di sini hari ini.

Sementara itu, Loke berkata kawasan Bukit Chagar yang menempatkan stesen RTS Link Johor Bahru-Singapura bakal menjadi hab sistem pengangkutan awam utama di Johor.

“Visi kita apabila RTS Link siap kelak, ia akan jadi pemangkin dan hab kepada pelbagai sistem pengangkutan awam di negeri ini. Memang menjadi dasar dan polisi kita untuk galakan penggunaan pengangkutan awam pada masa depan,” katanya.

Berhubung cadangan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk membangunkan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat bagi mengatasi kesesakan di Johor Bahru, Loke berkata MOT akan meneliti cadangan tersebut memandangkan sistem pengangkutan awam bersepadu semenangnya perlu disediakan di bandar raya itu.

Mengulas kemajuan projek RTS Link, beliau berkata setakat 31 Mac lepas kerja pembinaan infrastruktur rel RTS Link mencapai 70.45 peratus, manakala pembinaan superstruktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta penyuraian infrastruktur adalah 7.02 peratus.

Menurutnya akses kepada pengendali operasi RTS Link iaitu RTS Operations Systems Sdn Bhd (RTSO) untuk pemasangan sistem bagi perkhidmatan awam itu dijangka dilaksanakan pada akhir tahun ini.

“Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sedang membina kemudahan parkir bertingkat ‘Park ‘N Ride’ yang baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link merangkumi 1,000 ruang tempat letak kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 700 ruang tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link akan disediakan di Coronation Square yang terletak hanya 400 meter dari Bukit Chagar. Ini bermaksud sejumlah 1,700 ruang parkir disediakan untuk penumpang RTS Link kelak,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini