comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas helikopter: Ahmad Samsuri sedia sumbang kepakaran

Ahmad Samsuri ketika bercakap pada sidang media di lobi pekarangan dewan undangan negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.-Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia menyumbang kepakaran sekiranya diperlukan dalam membantu menyiasat nahas membabitkan dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, semalam.

Ahmad Samsuri yang juga pakar kejuruteraan aeroangkasa berkata menjadi tanggungjawab sebagai rakyat negara ini untuk membantu.

Bagaimanapun, beliau yakin pihak ATM mampu menjalankan siasatan secara terperinci berhubung nahas berkenaan.

“Tidak siapa mahu tragedi seperti itu berlaku dan saya percaya pihak tentera akan melakukan apa juga untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian itu berlaku.”

“Saya rasa dari segi siasatan, Insya-Allah pihak tentera mempunyai kepakaran mereka tersendiri. Banyak perkara yang mungkin akan dilihat oleh mereka terutama dari segi helikopter ‘control’ (kawalan) sama ada di luar kawalan atau masih lagi dalam kawalan.”

“(Ia) juga termasuklah formasi yang cuba dibuat pada hari itu adakah sedang berlaku formasi atau pun belum lagi dan macam-macam perkara yang saya rasa dalam pertimbangan mereka.”

(Siasatan juga) termasuklah ada tak kemungkinan helikopter itu tidak dapat dikawal oleh sebab-sebab tertentu yang saya rasa sangat ‘remote’ (mustahil), mungkin tidak berlaku begitu tetapi segala kemungkinan harus dipertimbangkan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama (Istiadat Perasmian) Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga anggota tentera yang kehilangan ahli keluarga mereka dalam tragedi berkenaan.

“Apa pun, sekali lagi takziah kepada semua, semoga kesemua mangsa yang terkorban itu berada di dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini