comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas maut babit 10 kenderaan, pemandu lori ditahan  

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis menahan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan sehingga menyebabkan dua maut, enam lagi cedera di KM 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi Buletin TV3 memberitahu, pihaknya akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki itu esok.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu berkenaan negatif dadah.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Dua maut, enam cedera nahas 10 kenderaan  

Semakan awal juga mendapati pemandu lori berusia 25 tahun itu tiada rekod kesalahan lalu lintas.

“Kalau tengok daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati keadaan lalu lintas tiada masalah, bukan keadaan seperti mana kemalangan dulu disebabkan lori terlampau laju. Kita pun jangka lori terbabit boleh berhenti tetapi macam mana dia boleh terus (memandu).

“Kita akan semak dari segi teknikal dan perkara lain, mungkin penggunaan telefon bimbit semasa pemanduan. Kita tak tahu sama ada dia leka bermain telefon bimbit, kalau tengok keadaan lori masih baharu. Kita akan teruskan siasatan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, dua penunggang motosikal maut apabila sebuah lori membawa muatan batu pasir merempuh lima kereta, dua lori dan tiga motosikal termasuk motosikal anggota polis trafik.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lori terbabit yang datang dari arah belakang telah mengubah laluan dari laluan tengah ke kiri dan hilang kawalan lalu merempuh beberapa kenderaan di hadapan.

Lori berkenaan yang terbabas ke laluan bertentangan turut merempuh sebuah lori kecil dan kenderaan lain.

Sebuah motosikal polis trafik yang sedang melakukan latihan dalam perkhidmatan (LDP) bagi perlumbaan jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL) turut dirempuh.

Anggota polis terbabit bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Dua mangsa terbunuh adalah penunggang motosikal masing-masing berusia 25 dan 39 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya manakala enam mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Mengulas lanjut,  Asmadi berkata, pihaknya sedang mengenalpasti kemungkinan ada lagi kenderaan terlibat dalam nahas itu selain jumlah mangsa lain yang cedera.

“Saya merayu kepada mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan kemalangan ini agar dapat membantu pihak polis dalam siasatan. kita jalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini