comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar 18 tahun tunai haji bersendirian

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Ketika remaja seusianya ramai menghabiskan masa bersama rakan-rakan, seorang pelajar lepasan SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor di Seremban, Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan haji.

Lebih menarik, kehadirannya di Makkah berseorangan, tidak ditemani oleh sesiapa, baik ibu bapa, adik beradik atau saudara mara.

Muhammad Haqim Mohd Farid, 18, berkata pada mulanya dia menyangka notifikasi yang diterima menerusi aplikasi Thijari adalah untuk ibunya

Namun terkejut apabila mengetahui panggilan haji itu adalah untuk dirinya.

“Ibu pun terkejut. Saya ingin menolaknya tetapi ibu bantah kerana dia kata ini adalah panggilan Ilahi dan tak sepatutnya saya tolak,” katanya ketika di temui di maktab penginapannya di sini.

Sejak itu, dia terpaksa membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, SPM dan menghadiri kursus haji.

“Lepas habis kelas tambahan setiap Ahad, saya bergegas pula ke masjid untuk hadiri kursus,” katanya.

Menurut Muhammad Haqim, dia tidak berasa janggal dikelilingi jemaah yang lebih berusia kerana sifatnya yang ringan tulang dan mudah mesra, malahan dia mengakui pernah dilantik mengimami solat jemaah di maktabnya.

“Saya mendaftar sebagai sahabat maktab KT72 kerana suka menolong orang. Antara pengalaman di sini ialah ketika membantu dua kumpulan jemaah (Indonesia dan Malaysia) yang tersasar pulang ke hotel masing-masing dari Masjidilharam,”

Kata Muhammad Haqim, ibunya mendaftarkan haji untuknya pada 2007 dan dia tiba di Tanah Suci pada 8 Jun lalu.

Sejak itu dia berazam mengubah dirinya menjadi lebih baik selain ingin menyegerakan urusan solat.

Ketika ditanya mengenai keputusan SPM baru-baru ini, Muhamad Haqim enggan mendedahkannya selain berkata keputusannya mencukupi untuk memohon kemasukan ke universiti tempatan.

Loading...
Terkini