comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar meninggal dunia selepas seminggu bertarung nyawa

Foto hiasan

MELAKA: Selepas seminggu bertarung nyawa, seorang pelajar lelaki yang sebelum ini diselamatkan daripada lemas di Pantai Mutiara Kem Terendak, Sungai Udang pada petang Jumaat lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa Mohamad Lukhman Aliff Mokhtar, 16, dibawa dengan ambulans Hospital Kem Terendak ke Bahagian Kecemasan Hospital Melaka kira-kira jam 8.40 malam pada 13 Oktober lalu untuk rawatan lanjut.

“Sepanjang rawatan, Allahyarham mendapat bantuan pernafasan dan pemeriksaan secara berkala oleh pihak hospital mendapati beliau mengalami ‘Brain Death’ akibat kekurangan oksigen.

“Doktor bertugas di wad ICU mengesahkan Allahyarham meninggal dunia pada jam 8 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa yang juga anak kepada seorang anggota di Balai Polis Banda Hilir itu dibawa ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Media sebelum ini melaporkan, rakan mangsa, Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, turut lemas dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan, mereka ke pantai itu bersama 14 pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak kira-kira jam 6 petang untuk meraikan hari terakhir guru pelatih di sekolah itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini