comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembentangan cadangan pindaan kerakyatan anak lahir di luar negara September ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 688 permohonan warganegara bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang juga rakyat Malaysia diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 150,000 permohonan warganegara yang diterima pihaknya setakat ini termasuk kes membabitkan kanak-kanak tanpa negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KDN meletakkan sasaran 948 permohonan warganegara di Sarawak diselesaikan pada Jun ini khususnya membabitkan komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman dan di sempadan, melalui penubuhan pasukan khas.

 

“Kita yakin di luar sana masih ada yang belum masuk permohonan lagi…perkara ini (688 permohonan) adalah mengikut Perkara 15 (2) permohonan warganegara bagi anak yang lahir di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia.

“Secara keseluruhan, kita terima 150,000 permohonan dengan kategori paling tinggi membabitkan anak tanpa warganegara atau yang lahir di luar ikatan perkahwinan.

“Ketika Perlembagaan Persekutuan dibuat pada tahun 1950-an, belum terbayang lagi kes wanita di negara kita yang merantau, bertemu jodoh, belajar dan membina kerjaya di luar negara,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang mahu tahu jumlah permohonan diterima membabitkan ibu yang memohon warganegara bagi anak dilahirkan.

Pada 17 Februari lalu, kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri itu selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan dijangka membentangkan perkembangan perbincangan mengenai cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pada September ini.

Beliau berkata, kementerian juga berhasrat membentangkan perkembangan perkara ini kepada semua Ahli Parlimen dengan mengadakan sesi libat urus.

“Selaras keputusan dibuat kerajaan pada 17 Februari lalu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan dan kita jangka mereka memerlukan tempoh selama enam bulan.

“Ia bermaksud pada September tahun ini, kita akan dapat membentangkannya iaitu dari jawatankuasa teknikal kepada jawatankuasa Kabinet, sebelum kepada Jemaah Menteri.

“Jika semuanya berjalan dengan persetujuan, maka ia akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai warganegara perlu dipersetujui Majlis Raja-Raja. Saya optimis hal ini akan dapat disempurnakan mengikut jadual,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikannya itu, ditubuhkan dengan membabitkan keahlian beberapa menteri iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, ia juga turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Jemaah Menteri juga bersetuju membentuk Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN dan ada keanggotaannya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengakui ada beberapa permohonan warganegara yang akan dibuat secara laluan pantas sebagai ikhtiar untuk membantu golongan sasar.

Loading...
Terkini