comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemergian Dr Teh tinggalkan lompong besar keluarga Public Bank, sektor perbankan

FOTO : Anwar Ibrahim / FACEBOOK

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pemergian Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank Bhd, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemergian mendiang juga kehilangan besar buat sektor perbankan dan negara.

“Saya mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang Dr Teh atas pemergiannya pagi tadi. Saya doakan keluarga mendiang tabah dan kuat atas kehilangannya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Dr Teh meninggal dunia jam 10.20 pagi tadi pada usia 92 tahun.

Mendiang dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di republik tersebut.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan dikurniakan empat orang anak.

Dr Teh adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Mendiang memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun.

Kemudian beliau menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun, dan meninggalkan bank terbabit untuk menubuhkan Public Bank pada 1965.

Sejak itu, Dr Teh telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Loading...
Terkini