comscore
Tumpuan :
Nasional

Penat angkut air, lif pula rosak

Penduduk terpaksa mengangkut air berikutan terputus bekalan sejak semalam selepas berlaku kerosakan pada komponen di tangki air. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Lebih 1,200 penghuni Blok D Fasa II Flat UDA Tanjung Tokong, di sini, terpaksa mengangkut air selepas berlaku kerosakan pada komponen tangki air di kawasan berkenaan.

Bekalan air terpaksa diputuskan sejak jam 1 petang semalam selepas mendapati berlaku kerosakan pada pam bermotor tangki air terbabit.

Penduduk Che Inson Saleh, 65, berkata, dia sudah tidak berdaya lagi bagi mengangkut air ke tingkat atas rumahnya sejak semalam.

“Semalam, saya dan anak angkut air sampai tengah malam dan setakat jam 2 petang hari ini saya sudah lebih 10 kali turun dan naik semula ke unit rumah bagi mengangkut air.

” Jika ini berterusan dalam tempoh lama, saya juga pasti hilang daya dan diharap kerosakan yang berlaku dapat diperbaiki segera,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Shaikh Muhammad Faiz Shaikh Abdullah 34, yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kaki palsu juga kesal dengan kejadian berkenaan.

Katanya, bukan sahaja terpaksa berulang kali mengangkut air, tetapi penduduk terpaksa berebut dan menunggu lama bagi menaiki lif.

“Satu daripada dua lif sedia ada sudah lama rosak dan apabila kejadian ini berlaku, ia menyukarkan lagi penduduk bagi mengangkut air.

” Selain itu, kita bimbang jika air yang diangkut itu merosakkan sistem pada lif dan ia sudah tentu akan timbul lebih banyak masalah kelak,” katanya lagi.

Hanya satu daripada dua lif berfungsi dan penduduk terpaksa menunggu lama serta berebut bagi menaiki lif.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk, Mohamed Nadir Mohd Mydin berkata, pihaknya sudah berhubung dengan beberapa agensi dan wakil rakyat bagi mendapatkan penyelesaian.

Katanya, juruteknik juga memberitahu bahawa komponen yang rosak dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk sampai sebelum diganti.

Difahamkan komponen pada tangki air berkenaan tidak pernah di selenggara sejak tahun 1988.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya sudah melakukan tinjauan ke lokasi.

“Kita sudah maklum dengan perkara itu, dan akan tunggu laporan sebelum buat keputusan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Loading...
Terkini