comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendaki Malaysia terkandas di Lukla

KUALA LUMPUR: 10 pendaki negara yang menyertai Ekspedisi Gunung Mera Peak, Nepal terkandas di Lukla.

Ini berikutan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda kawasan terpencil di negara itu.

Menurut Ketua Ekspedisi yang juga Pendaki Everest Negara, Zainudin Lot, 46, berkata dia bersama rakan-rakan pendaki kini berada di lapangan terbang Lukla.

Katanya mereka dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Kathmandu esok, namun berusaha untuk mengambil penerbangan pada hari ini kerana bimbang berlaku gempa susulan.

“Kebanyakan pendaki berasa cemas sekiranya berlaku gempa susulan. Walaupun kejadian itu berlaku jauh dari kawasan Lukla, tapi kami sedikit bimbang akan turut menjejaskan keadaan di sini.

“Kami berdoa supaya dapat segera keluar dari Lukla dan kembali ke Kathmandu sebelum dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Malaysia pada 7 November ini,” katanya.

Pada 1 November lalu, Zainudin bersama tiga pendaki negara termasuk bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Abdul Rahim Rahmat berjaya menawan Gunung Mera Peak, Nepal yang berketinggian 6,476 meter dari paras laut (mdpl).

Mereka berjaya tiba di puncak pada 11.30 pagi (waktu tempatan) selepas mendaki selama sembilan jam dari High Camp.

Seramai 10 pendaki profesional memulakan pendakian dari Lukla pada 25 Oktober lalu.

Media hari ini melaporkan lebih 100 mangsa terkorban akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang melanda sebuah kawasan terpencil di Nepal.

Loading...
Terkini