comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Bimbang Kemunculan Beruang Matahari

Oleh Ezzuan Ahmad

Seekor beruang matahari dirakam cuba memanjat dinding pagar rumah penduduk di Kampung Baru Kerteh, Kemaman. – FOTO : Tangkap layar video tular

KEMAMAN: Penduduk di Kampung Baru Kerteh, Kemaman, Terengganu kini hidup dalam kebimbangan ekoran kemunculan seekor beruang matahari yang berkeliaran memasuki kawasan tersebut baru – baru ini.

Penduduk bimbang akan keselamatan diri mereka terutamanya kepada kanak-kanak.

Kelibat beruang tersebut yang sedang memanjat pagar rumah milik penduduk sempat dirakamkan oleh seorang individu yang kebetulan melalui kawasan tersebut dan ianya turut tular di laman sosial sejak tiga hari lalu.

Menurut penduduk, haiwan terbabit dipercayai datang dari hutan berhampiran dan kemunculan haiwan liar tersebut merupakan yang pertama sepanjang mereka menetap di kawasan kampung tersebut.

Semenjak video kemunculan beruang tersebut tersebar, penduduk kini hidup dalam kebimbangan kerana takut haiwan terbabit akan berkeliaran di kawasan perumahan dan seterusnya mengundang bahaya akan diserang oleh haiwan terbabit.

Bagi Aishah Zainol, dia belum lagi terserempak dengan haiwan berkenaan tetapi perasaan takut tetap ada setiap kali keluar dari rumah. 

Tambah seorang lagi penduduk, Zaiton Deraman, kebanyakan kawasan perumahan terletak di kawasan yang sunyi dan berada berdekatan dengan hutan dan keadaan tersebut menyebabkan mereka kini berasa takut untuk keluar dari rumah kerana bimbang haiwan terbabit boleh muncul pada bila – bila masa .

Mereka berharap agar beruang tersebut dapat ditangkap segera dan penduduk boleh hidup dengan tenang seperti sebelum ini.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Song dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati haiwan terbabit dipercayai datang dari Hutan Simpan Kerteh yang terletak tidak jauh dengan perumahan penduduk.

Pihak Perhilitan telah menghantar pegawainya untuk membuat pemantauan serta beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat provokasi sekiranya terserempak dengan kelibat haiwan tersebut dan dapat menghubungi Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

Loading...
Terkini