comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tular: Pengasuh ditahan disyaki cederakan budak

Foto: Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri di sini ditahan selepas disyaki mencederakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Video kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis mengesan dua klip video berkenaan berdurasi satu minit 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook (FB) hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan benjol di bahagian dahi dan kemerahan di pipi kiri serta kanan mangsa.

Menurutnya, sebelum itu, pada jam 11.28 pagi semalam, polis menerima laporan dibuat bapa mangsa berhubung kes berkenaan.

Suspek berusia 28 tahun itu menyerah diri dan ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, D11, Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur.

Dia ditahan selama 24 jam dan diberi jaminan polis.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

 

Loading...
Terkini