comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengurangan harga jalur lebar tetap: Perjanjian capaian dimuktamad akhir September

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pengurangan harga runcit untuk perkhidmatan jalur lebar tetap berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) akan dilaksanakan sejurus perjanjian capaian dimuktamadkan antara pihak penyedia perkhidmatan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika ini, kebanyakan penyedia perkhidmatan sudah atau sedang dalam proses untuk menerbitkan ‘Reference Access Offer’ (RAO).

“Rundingan perjanjian capaian akan bermula berdasarkan kepada RAO yang diterbitkan dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir September 2023. Oleh yang demikian, pengurangan harga runcit untuk perkhidmatan jalur lebar tetap dijangka berlaku selepas itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan MCMC ini sebagai maklum balas kepada artikel sebuah portal teknologi yang mempersoal pihak kerajaan kerana masih belum melaksanakan pengurangan harga jalur lebar meskipun sudah empat bulan MSAP berkuat kuasa iaitu sejak 1 Mac lalu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pelaksanaan MSAP baharu akan menurunkan harga maksimum perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi hingga sekitar 50 peratus kepada pengguna.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, pihak kerajaan telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Internet Tetap pada awal Februari lalu, bertujuan membantu golongan B40, veteran, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas pada harga lebih rendah.

Langganan pakej berkenaan yang tersedia sejak Mac lalu adalah untuk tempoh selama 24 bulan pada harga RM69 sebulan dengan kelajuan Internet sehingga 30Mbps dan data tanpa had.

“Harga bagi pakej ini adalah 22 peratus jauh lebih murah berbanding dengan harga sedia ada untuk pakej dan kelajuan yang sama iaitu RM89. Di bawah pakej ini, pelanggan boleh menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak. Sehingga kini, sejumlah 6,066 pelanggan telah melanggan untuk pakej jalur lebar tetap itu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Pakej Perpaduan Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA)@MyKabel dilancarkan pada April lalu, menyasarkan penduduk PPR dan golongan B40 bagi membantu aktiviti seharian mereka.

Pakej ditawarkan pada harga RM69 sebulan dengan kontrak selama 24 bulan pada kelajuan 100Mbps dengan data tanpa had.

Loading...
Terkini