comscore
Tumpuan :
Nasional

Ceramah kurang orang sebab ramai tonton ‘online’ – Kon Yeow

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menafikan jumlah pengunjung yang berkurangan menyaksikan ceramah gabungan itu di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini, semalam sebagai tanda kekurangan sokongan. Sebaliknya, beliau yang juga Ketua Menteri menegaskan orang ramai lebih cenderung memilih untuk menonton ceramah secara maya memandangkan ia juga disiarkan secara dalam talian di media sosial termasuk Facebook parti.

“Sekarang ni norma baharu, jadi mereka tukar kaedah mendengar ceramah dengan tengok di dalam talian…kita ada Facebook live, mungkin reach di situ (Facebook) lebih besar daripada fizikal.

Tetapi kita perlu berusaha walaupun secara dalam talian, fizikal kita perlu capai sasaran orang ramai, lagi pun semalam baru hari pertama dan kita ada 13 hari lagi (kempen), melibatkan pelbagai bentuk aktiviti termasuk lebih penting lagi jelajah mesra,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian mengulas foto yang tular di media sosial memaparkan banyak kerusi kosong berbanding orang ramai ketika ceramah PH itu, namun pemerhatian di Facebook DAP Pulau Pinang mendapati ceramah berkenaan ditonton lebih 16,700 pelayar laman sosial berkenaan.

Kon Yeow yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini turut menolak dakwaan kononnya mereka yang hadir pada ceramah berkenaan meninggalkan dewan itu ketika seorang pemimpin DAP berucap sebagai tanda protes, sebaliknya pengunjung bertindak sedemikian kerana malam semakin lewat.

Mengenai sambutan orang ramai terhadap kempen PH setakat ini, Kon Yeow berkata berdasarkan pemantauan dan maklumat diterima, kempen secara tinjauan mesra dan bersemuka oleh calon PH di negeri itu diterima baik oleh pengundi.

“Saya hadir pada pembukaan pusat khidmat DUN Perai tadi dan saya dimaklumkan ketika tinjauan mesra calon (DAP) di pasar Taman Chai Leng, sambutan sangat bagus, malah semasa saya di Bayan Baru tadi turut mendapat sambutan yang baik…tapi kita tak nak over confident lah,” katanya.

Loading...
Terkini