comscore
Tumpuan :
Nasional

Perginya Hail Amir: Allahyarham tidak pernah bezakan artis baru dan lama – Zed Zaidi

GOMBAK: Pemergian penyanyi dan pelakon veteran era 70-an, Allahyarham Datuk Hail Amir satu kehilangan besar dan amat dirasai industri hiburan di negara ini.

Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, Allahyarham seorang penghibur yang amat disenangi dalam kalangan artis dengan keperibadiannya.

Malah beliau jelasnya, tidak pernah membezakan antara artis baharu dan lama meskipun sudah bergelar lagenda dalam industri tanah air.

“Anak seni pewaris budaya seniman rakyat untuk negara. Apa sumbangannya dalam lagu dan lakonannya, dia menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Siapa nak jadi seniman dia perlu ada bakat, bakat yang kita ada pada Allahyarham Datuk Hail Amir tiada pada bakat lain.

“Dia tidak pernah membezakan artis muda atau lama, cuma baru baru ini faktor kesihatan dia kurang dengar sikit sehinggalah dia masuk hospital baru baru ini,”katanya ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hari ini.

Tambah Zed Zaidi, SENIMAN sentiasa memberi sumbangan kepada artis veteran termasuk Allahyarham sebelum ini.

Berkongsi cerita tambahnya, beliau agak ralat apabila Allahyarham sepatutnya diziarahi Menteri Komunikasi namun dimaklumkan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL), Allahyarham telah meninggal dunia.

“Hari ini kalau ikutkan semalam kita ada urusan untuk Menteri minta saya bantu menguruskan lawatan untuk menziarahi beliau.

“Tapi pihak Hospital Kuala Lumpur dah imaklumkan pada pegawai tersebut bahawa Allahyarham dah tiada.

“Benda ini pernah berlaku pada Allahyarham Jaafar Onn, kita rasa ralat sebab tak dapat hadir menziarahi mana yang dah pergi. Tapi Allah SWT lebih sayang mereka,”katanya.

Jenazah penyanyi dan pelakon veteran tanah air itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Masjid Ukay Perdana pada jam 9 pagi sebelum disolatkan kira-kira 300 jemaah.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, ahli keluarga terdekat dan kenalan artis veteran tanah air.

Antaranya, Datuk Dj Dave, Datuk Yusof Haslam, Salamiah Hassan, Datuk Ahmad Termimi Saregar, Abon, Datuk M Nasir, Razis Ismail dan Presiden SENIMAN,  Zed Zaidi.

Allahyarham menghembuskan nafas pada usia 79 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin sekitar jam 3:48 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini