comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan lebih RM1 juta untuk asnaf dan anak yatim, Pusat Tahfiz Wilayah KETENGAH

DUNGUN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbuka puasa bersama lebih dua ribu masyarakat setempat pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

Di majlis sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyampaikan sumbangan duit raya dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu  dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 1,300  Asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit terlantar seramai 1,400 orang dengan peruntukan berjumlah RM810,000.

Turut diserahkan geran sumbangan KETENGAH berjumlah RM30,000 kepada enam buah madrasah dan pusat tahfiz yang berdaftar dalam Wilayah KETENGAH.

Setiap madrasah dan pusat tahfiz menerima sebanyak RM5,000.

KETENGAH juga menyerahkan geran sumbangan kepada 125 masjid dan surau dalam Wilayah KETENGAH dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,000.

Setiap masjid akan menerima sumbangan RM1,000 manakala setiap surau akan menerima sumbangan RM500.

Sumbangan ini adalah bertujuan untuk mengimarahkan masjid dan surau di sepanjang bulan Ramadan.

Sejumlah RM180,000 sumbangan Hari Raya turut  diperuntukkan kepada anak-anak yatim yang terdapat di Wilayah KETENGAH melibatkan 600 penerima.

Setiap penerima sumbangan akan menerima kelengkapan dan duit raya berjumlah RM300.

Di majlis sama, turut diadakan penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) melibatkan 766 buah kampung daripada 1,046 kampung di seluruh Negeri Terengganu dalam Fasa 1.

Insentif Tadbir Urus JPKKP Terengganu turut diserahkan berjumlah RM5.23 juta.

Antara fungsi utama JPKKP adalah membuat perancangan dan pelaksanaan projek dan program di kampung di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat.

Program Iftar Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW tahun ini bermula di Kluang, Johor diikuti Tanah Merah, Kelantan; Dungun, Terengganu; Trolak, Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan, Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini