comscore
Tumpuan :
Nasional

PH Terengganu buat laporan polis isu perarakan bawa replika senjata

Foto: Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Tengah)

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, membuat laporan polis bersabit isu perarakan membawa replika senjata di program Himpunan Pemuda Islam Terengganu HIMPIT 2023.

Laporan polis di buat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu jam 12.00 tengahari tadi.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat kerana PAS kini lebih berani dan lebih bebas bermaharajalela menunjuk sikap ekstrim mereka berarak di jalanan dengan alat berbentuk senjata dan lengkap berpakaian perang.

Bukan sahaja mereka berarak tetapi menggunakan alat berbentuk pedang dan lembing yang menimbulkan kebimbangan orang awam.

Pakatan Harapan Terengganu menyelar perbuatan itu dan meminta PDRM memandang serius isu itu demi ketenteraman dan keharmonian negara serta menjalankan sisatan bagi mengelak perkara yang lebih buruk berlaku.

Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesalahan dilakukan penganjur pada perarakan Himpunan HIMPIT 2023, Jumaat lalu.

Pihaknya mengetahui mengenai program itu, namun tidak dimaklumkan perarakan ada membawa replika senjata.

Hasil siasatan mendapati salah satu acara yang dipertandingkan pada program itu, iaitu rekacipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

Daripada lapan pasukan yang bertanding, hanya satu pasukan yang didapati mengenakan pakaian atau replika senjata.

Perkara itu turut mendapat kritikan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar.

Beliau menyifatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam sebagaimana berlaku di Himpunan HIMPIT 2023 adalah tidak wajar dan telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

Bagaimanapun, penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu Himpit 2023 bersedia untuk memberi kerjasama bagi siasatan polis berkaitan perarakan membawa replika senjata.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, program itu acara tahunan dan menjadi tradisi peserta membawa replika mengikut tema perarakan.

Katanya tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya hanya hasil kreativiti peserta mempamerkan idea masing-masing.

Isu pemakaian seragam perang zaman para sahabat katanya sebagai memenuhi tema perarakan mereka, sama seperti pertandingan pakaian “Cosplay” yang menayangkan senjata adiwira di seluruh negara.

Loading...
Terkini