comscore
Tumpuan :
Nasional

PM akan panggil ahli Kabinet Isnin ini, umum peraturan baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir sesi Walkbout dan Ramah Mesra di Pasar Tanjung Rambutan

IPOH: Keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengumumkan barisan Jemaah Menteri atau Kabinet petang ini adalah memanggil mereka yang dilantik dalam jemaah itu ke mesyuarat khas Isnin ini bagi mengumumkan beberapa peraturan baharu.

Perdana Menteri berkata, antara peraturan yang akan ditetapkan adalah berkaitan cara mengurus kementerian; cara mendampingi dan bekerjsama dengan penjawat awam; penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengunguman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

“Bagi saya, keutamaan sebaik disusun (diumum) Jemaah Menteri (petang ini), saya akan panggil mesyuarat khas pada Isnin ini untuk tetapkan beberapa peraturan baharu bagi Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat dekat Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati dekat Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam program itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim;

Terdahulu dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut mengesahkan senarai ahli Jemaah Menteri pentadbirannya bakal diumumkan beliau pada lewat petang ini selepas beliau sebelumnya dilapor tiba di Istana Negara pagi tadi dipercayai untuk mempersembahkan senarai ahli jemaah itu kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau dalam ucapan itu turut mengulangi pendirian sebelum ini bahawa Kabinet yang dibentuk tidak terlalu ramai ahli iaitu Menteri, selain dari pengurangan yang turut membabitkan Duta Khas bertaraf menteri.

Dalam ucapannya lagi, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kuasa kepimpinan bukanlah keistimewaan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bagi memperbaiki segala kelemahan lampau seperti masalah pembaziran dan rasuah, selain memperhebatkan kekuatan sedia ada.

Anwar turut merujuk situasi pengambilalihan kepimpinan negara yang dialaminya kini membabitkan bilangan kerusi di Parlimen yang disifatkan sebagai ‘majoriti bergaya’, seakan seperti perisitwa penawanan atau pembukaan Kota Makkah (Fathul Makkah) yang terjadi semasa zaman hayat Rasulullah S.A.W.

“Kita majoriti bergaya di Parlimen, untuk apa? Untuk jamin hentikan rasuah, penyelewengan, dan pembaziran serta angkat ke arah lebih baik. Jadi doakanlah.

“Pada saat Rasulullah menawan Makkah sewaktu Fathul Makkah, pengajaran yang boleh kita lihat, ketika itu antara perkara pertama Rasulullah lakukan adalah memuji kebesaran Allah dan kedua meminta keampunan, beristighfar kepada Allah,” katanya

Loading...
Terkini