comscore
Tumpuan :
Nasional

PM saran syarikat untung besar naikkan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Sektor swasta, terutamanya syarikat yang mencatat keuntungan besar disaran meningkatkan gaji pekerja mereka secara munasabah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pemberian bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam dan lantikan kontrak yang diumum dalam Belanjawan 2024 Jumaat lalu, isyarat jelas untuk sektor swasta mengikut langkah kerajaan.

“Ada yang mengadu, syarikat untung sehingga RM400 juta setahun, tetapi upah pekerja tidak meningkat langsung.

“Saya harap signal kerajaan ini memberi pengiktirafan kepada penjawat awam disambut oleh sektor swasta yang mencatat keuntungan yang baik.

“Bagilah sedikit tambahan (bonus dan gaji) mengikut keadaan semasa hari ini,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mahu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) disiapkan pertengahan tahun depan untuk memastikan struktur gaji baharu penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.

“Bila saya beri RM2,000 kepada penjawat awam, ia (sebelum itu) dianggap sesuatu yang tidak mungkin, hingga Ketua Setiausaha Negara (KSN), Menteri Kewangan (MOF) pun terkejut kerana usul tidak sampai sehingga ke situ.

“Tetapi saya memikirkan satu rangka yang lebih luas, kerana kajian persaraan itu tidak boleh dilakukan dalam tempoh 10 tahun, tidak boleh kajian biasa tetapi ia mestilah komprehensif, dengan semua jabatan yang ketinggalan atau kekurangan akses memberi pandangan dan ia dibincang hingga ke peringkat tertinggi.

“Ia mungkin memakan masa tetapi kajian itu perlu komprehensif kerana membabitkan reformasi penjawat awam dan kenaikan gaji. Jadi elok untuk kita berikan signal dan perhatian yang lebih baik,” ujarnya.

Tambah beliau, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan produktiviti penjawat awam terus meningkatkan namun kadar upah kekal rendah.

Loading...
Terkini