comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis pantau Julau, tiada kegiatan jenayah akan terlepas tindakan – Menteri Dalam Negeri

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng (baju petak merah putih) semasa mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di Julau baru-baru ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebarang kegiatan jenayah termasuk gangsterisme didakwa berleluasa di Julau, Sarawak tidak akan terlepas daripada diambil tindakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng supaya Bukit Aman bertindak tegas terhadap kegiatan berleluasa gengsterisme sehingga menjadikan kawasannya sebagai ‘Wild Wild West’.

Saifuddin berkata pihaknya ada membincangkan itu secara langsung dengan Sng dan beberapa tindakan berterusan akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sebarang kegiatan jenayah di daerah itu.

“Saya sendiri telah berkongsi kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) malah Ketua Polis Daerah ada mengeluarkan kenyataan terdapat tangkapan berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini hari ini.

Pekan Julau. – FOTO: Ihsan Buletin Julau Sarawak/ Facebook.

Menurut Saifuddin, beliau percaya pihak polis mengambil maklum dan akan segera mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara yang dibangkitkan oleh Sng itu.

Media semalam melaporkan Larry mendakwa kumpulan kongsi gelap itu bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau, malah turut terlibat aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok dan minuman keras serta pinjaman wang haram.

Melalui catatan di Facebook miliknya, Larry turut mendakwa, syabu atau ‘Batu’ (merujuk methamphetamine) dijual secara terbuka di bandar Julau terletak di Sarikei itu untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Dakwanya, beliau juga dimaklumkan beberapa penjawat awam dan ketua rumah panjang (tuai rumah) telah berhutang dan terdesak untuk menjual tanah mereka serta meminjam wang bagi membayar balik samseng yang mengenakan kadar faedah terlalu tinggi.

“Ramai daripada mereka ini tidak mampu membayar balik dan sering diancam dengan kekerasan,” katanya.

Malah, beliau juga mendakwa terserempak beberapa samseng tempatan yang jelas ingin menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

“Walaupun tidak cedera semasa kejadian itu, sejak itu saya sedar betapa cepatnya pekan luar bandar yang dahulunya aman damai itu kini menyerupai ‘Wild Wild West’,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini