comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KEMAMAN: Tunaikan tanggungjawab demi satu undi

Calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyantuni Mohamad Boto, 55, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh

KEMAMAN: Meskipun penglihatannya kabur dan tidak dapat memangkah sendiri kertas undi, seorang lelaki tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini.

Mohamad Boto, 55, yang tinggal di Kampung Chabang, Kerteh, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, ditemani anaknya, Siti Musliha Azlina, 25.

Menurut Siti Musliha, bapanya tidak pernah ketinggalan untuk keluar mengundi sejak berusia 21 tahun.

“Sejak kemalangan dirempuh lembu ketika menunggang motosikal pada Disember tahun lepas, keadaan fizikal bapanya berubah apabila kedua-dua matanya kurang jelas.

“Abah juga tidak mampu untuk memangkah sendiri kertas undi dan ingatannya juga kurang baik selepas pembedahan buang tempurung kepala dilakukan bagi membuang darah beku di kepalanya dilakukan. Dia juga tidak dapat bercakap dengan lancar,” katanya.

Jelasnya lagi, dia juga turut mengambil tanggungjawab memangkah kertas undi bapanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

“Masa Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas, abah masih sihat. Namun untuk PRN dan PRK kali ini, saya tolong abah, saya terpaksa keluar awal mengundi di SK Chabang terlebih dahulu sebelum menemani bapanya di SK Kampung Baru Kerteh yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah, katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dicabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Seramai 141,790 pengundi layak mengundi pada PRK Parlimen Kemaman kali ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini